[Video] Animal Malaysia Tawar RM2,000 Untuk Kesan Identiti Pelaku Lempar Kucing Dalam Lombong
Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) baru-baru ini menawarkan sejumlah RM2,000 bagi sesiapa yang dapat mengenalpasti identiti individu kejam yang mencampak kucing ke dalam lombong.
Ia dikongsikan oleh akaun persatuan itu di laman Facebook, berserta dengan satu video yang menunjukkan kekejaman kejadian berkenaan.
“Aksi lempar kucing ke dalam lombong begini tidak boleh dimaafkan. Risiko kematian sama ada lemas atau dimakan ikan pemangsa bakal dihadapi oleh kucing”.
Persatuan Haiwan Malaysia – Malaysia Animal Association/Facebook
Difahamkan bahawa lokasi insiden ini berlaku adalah di Johor. “Bantu Animal Malaysia mengecam wajah, lokasi dan suara percakapan pelaku serta rakannya”.
Berdasarkan video yang disertakan, kelihatan seorang individu bertindak mencampakkan kucing ke dalam lombong, sambil diperhatikan oleh seorang lagi individu di tepinya.
Manakala individu ketiga bertindak merakamkan kejadian itu daripada jarak yang sedikit jauh daripada lokasi kedua-dua individu terbabit.
Si pelaku berkemungkinan berada dalam kalangan sahabat, rakan, saudara, kenalan mahupun jiran tetangga kita yang tahu mengenainya.
Persatuan itu juga meminta agar sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi talian 016-6345464 menerusi aplikasi Whatsapp.
Mana-mana pihak yang berjaya menjejaki pelaku zalim ini hingga berjaya didakwa dan dijatuhkan hukuman akan ditawarkan ganjaran berjumlah RM2,000.
Klik untuk tonton video di sini👇